GERAN PENYELIDIK MUDA

2024-2028

Penyelidikan Universiti-Industri
Kelestarian Landskap Kars Batu Kapur Tropika

Pengenalan

Konsortium Penyelidikan Universiti-Industri mengenai kelestarian landskap kars (batu kapur) tropika berhasrat memperkayakan pengetahuan mengenai Sains Kelestarian sumber bumi penting negara daripada perspektif mengimbangi keperluan sumber dan kepentingan memulihara warisan alam. Wawasan konsortium telah diterajui industri, khususnya YTL Cement, untuk menggalakkan penyelidikan oleh pensyarah-pensyarah muda universiti.

Program kedua turut diperkenalkan untuk melaksanakan wawasan ini selepas pemberian dana melalui Biasiswa kepada pelajar pascasiswazah, berasaskan perkongsian pintar antara JPT-KPT dan YTL Cement, dan kerjasama lima universiti awam Malaysia. Penyaluran dana yang diberikan kepada pensyarah-pensyarah muda di universiti adalah dalam bentuk geran kecil bagi tujuan mempelbagai topik penyelidikan di kawasan Batu Kapur Tropika. Program kedua ini dinamakan sebagai Geran Penyelidik Muda UIRC.

Geran Penyelidik Muda adalah geran yang dianugerah kepada pensyarah muda di universiti-universiti awam untuk menjalankan penyelidikan merentas bidang. Penyelidikan yang dibiayai oleh UIRC perlu memfokuskan kepada bidang tujahan (niche area) yang mempunyai kepentingan penyelidikan di kawasan Batu Kapur Tropika. Tajuk bidang penyelidikan akan disenaraikan sebagai panduan.

Mengapa Landskap Kars Batu Kapur Tropika?

Bukit batu kapur atau landskap kars tropika yang unik dan berpandangan indah, sering mendapat perhatian awam. Landskap kars juga sangat kaya dengan warisan biologi, sejarah dan arkeologi. Kehadiran landskap kars di Malaysia sangat terbatas, kurang 3%, dan kegunaan sebagai sumber binaan dan industri yang penting menyebabkan utilisasi sumber berhadapan dengan konflik berterusan antara pemain industri dengan masyarakat awam. Penyelidikan ini membolehkan maklumat pelbagai dimensi digunakan oleh pihak perancang dan pembuat dasar menentukan kesesuaian sumber untuk pemuliharan warisan atau utilisasi lestari. YTL Cement mempunyai tanggungjawab bagi memastikan kelestarian Landskap Kars Batu Kapur Tropika terus terpelihara, sementara kepentingan bersaing negara terus dipertahankan.

Objektif Geran Penyelidik Muda

Melaksanakan penyelidikan terhadap pengurusan kelestarian dan pemuliharaan landskap Kars Batu Kapur Tropika untuk warisan semula jadi termasuk kepelbagaian biologi dan ekosistem landskap kars batu kapur tropika serta aspek geologi dan warisan yang berkaitan dengan landskap kars tropika.

SYARAT AM PERMOHONAN

Kelayakan Pemohon

  • Geran ini terbuka kepada kakitangan akademik (pensyarah) universiti awam sepenuh masa yang berkhidmat kurang 10 tahun sama ada kakitangan tetap ataupun kontrak di sesebuah universiti awam yang berkelayakan.
  • Tutor tidak layak memohon sehingga mendapat pengesahan jawatan sebagai pensyarah.

Syarat Penyelidikan

  1. Projek penyelidikan mestilah berteraskan pemeliharaan dan pengurusan Lestari di kawasan batu kapur kars tropika.
  2. Penyelidikan dibuat mengikut format laporan teknikal Universiti.
  3. Sesi pembentangan projek dalam seminar.
  4. Digalakkan untuk menerbitkan laporan ilmiah (sekurang-kurangnya 1 penerbitan dalam Quartile 1 hingga 4).
  5. Keperluan untuk meletakkan nama penaja UIRC pada laporan dan pembentangan.
  6. Tiada bayaran pegawai penyelidik disediakan.

Tempoh Penyelidikan

  • Tempoh pelaksanaan geran adalah 9 hingga 12 bulan sahaja.

Tajuk Bidang Tujahan

  1. Pengurusan Lestari Sumber Batu Kapur
  2. Penilaian Sumber Batu Kapur untuk Industri
  3. Pengkuarian dan Perlombongan Batu Kapur Lestari
  4. Penilaian Kualiti dan Kuantiti Batu Kapur untuk Industri
  5. Keselamatan dan Kestabilan Landskap Kars Tropika
  6. Inovasi Teknologi Bahan Batu Kapur untuk Industri
  7. Pemuliharaan Kepelbagaian Biologi Habitat Batu Kapur
  8. Pemuliharaan Kepelbagaian Geologi Landskap Kars
  9. Pemuliharaan Warisan Sejarah dan Arkeologi Landskap Kars
  10. Pengurusan Warisan Batu Kapur Terintegrasi

Siling Peruntukan

  • Jumlah siling bagi setiap projek penyelidikan ialah sehingga RM30,000. 
  • Pecahan dana hendaklah digunakan sebaiknya untuk kajian lapangan, aktiviti makmal dan penulisan laporan.

Mod Pembayaran

  • 40% dari jumlah penuh peruntukan dana akan diberikan selepas mendapat kelulusan tawaran
  • 60% daripada baki geran akan diselesaikan selepas laporan kemajuan pertama diterima

Tarikh Permohonan

  • Permohonan dibuka pada Januari dan Jun setiap tahun dari 2024 – 2028.

Hubungi kami